Category — Personal Development
American Inventor


Selalunya sekarang kalau cerita pasal Amerika, mesti banyak yang negatif kita dengar. Dari hal-hal politik hinggalah ke hiburan semuanya tak boleh masuk akal. Tapi satu perkara telah mencuri tumpuan saya, rancangan realiti TV ‘American Inventor”. Ia berkisarkan mengenai ciptaan-ciptaan baru daripada peserta dan dihakimkan oleh pakar-pakar yang telah dipilih. Dan seperti biasa ia melibatkan emosi, sifat-sifat pasif dan pertelingkahan sesama mereka tapi itulah budaya Amerika!
Tapi yang menariknya, kita akan melihat banyak idea-idea baru, idea ciplak yang kadang kala mengagumkan dan adakalanya mengelikan hati, dan jika anda adalah seorang yang bukan berfikiran kreatif dan lateral mungkin ianya tidak sesuai untuk anda. Kesimpulannya, realiti TV masih ada kebaikannya jika kena dengan caranya!
This post was written in Malay language (Bahasa Malaysia).
March 28, 2007 No Comments
Konsep kaedah enam topi berfikir

Edward De Bono telah mencipta satu kaedah berfikir yang digelarnya Kaedah Enam Topi Berfikir atau Six Thinking Hats. Walaubagaimanapun, pengamalnya diingatkan tidak mempraktikkan kesemua topi serentak dikhuatiri menyebabkan fikiran berkecamuk.
Topi Hijau - Melambangkan pemikiran kreatif.
Topi Kuning - Melambangkan pemikiran konstruktif atau membina.
Topi Putih - Melambangkan pemikiran objektif.
Topi Hitam - Melambangkan pemikiran kritikal dan negatif.
Topi Merah - Melambangkan pemikiran emotif dan nilai.
Topi Biru - Topi yang paling dominan dan bertindak sebagai pembuat keputusan.
This post was written in Malay language (Bahasa Malaysia).
March 9, 2007 No Comments
Iskandar Zulkarnain dalam surah al-Khafi
NAMANYA disebut dalam al-Quran pada baris-baris surah al-Khaf, tetapi Allah SWT sekadar memperkenalkan nama serta secebis pengalamannya dalam menempuh episod panjang kehidupan di dunia ini.
Lalu, keseluruhan sejarah hidup lelaki itu terus kekal misteri dan menjadi tanda tanya di kalangan ilmuwan dan umat Islam umumnya. Ia sekali gus mendorong kajian profil dan penyelidikan arkeologi dijalankan terus-menerus untuk menyingkap rahsia siapa lelaki itu sebenarnya.
Pastinya beliau seorang tokoh agung kerana Allah memilih untuk menceritakan pengalamannya dalam kitab suci. Jasa dan tanggungjawab lelaki itu besar sekali kepada umat manusia.
Peranan dan tugasnya di dunia ini tidak mampu atau tidak sanggup dilakukan mana-mana manusia biasa lantaran ia suatu peristiwa besar dan teramat penting dalam rahsia perjalanan hidup manusia di dunia ini.
Allah menceritakan kisah lelaki itu seperti firman-Nya dalam surah itu: Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya. Sesungguhnya Kami memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun menempuh suatu jalan.
Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: Hai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka. Berkata Zulkarnain: Adapun orang yang aniaya maka kami kelak akan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya (ayat 83 hingga 87)
Kemudian dia menempuh jalan (yang lain). Hingga apabila sampai ke tempat terbit matahari (Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu, (ayat 89 dan 90).
Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata: Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?.
Zulkarnain berkata: Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka, berilah aku potongan-potongan besi.
Hingga apabila besi itu sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu). Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar ku tuangkan ke atas besi panas itu.
Maka mereka tidak bisa mendakinya dan mereka tidak bisa (pula) melubanginya. Zulkarnain berkata: Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar (ayat 92 hingga 98).
Demikianlah secebis kisah mengenai Zulkarnain. Dalam rentetan perjalanan hidupnya, lelaki itu bertanggungjawab membina tembok bagi menghalang bangsa Yakjuj dan Makjuj mendatangkan angkara kepada manusia. Tembok binaan Zulkarnain itu hanya akan runtuh apabila dunia terlalu hampir dengan kiamat.
Penerbit Eksekutif TV9 (Program Agama), Wan Alias Abdullah, berkata sehingga kini, persoalan mengenai siapa sebenarnya Zulkarnain yang disebut al-Quran masih menjadi misteri yang tidak putus-putus diperbincangkan.
Dalam cubaan merungkai persoalan mengenai identiti Zulkarnain, ilmuwan cuba merujuk silang kisah al-Quran mengenai lelaki itu dengan tokoh pemerintah lampau yang diketahui menerusi penemuan arkeologi.
Sehingga kini terdapat tiga tokoh sejarah lampau yang dikaitkan sebagai Zulkarnain seperti disebut al-Quran, kata Wan Alias yang pernah berusaha menjejak misteri Zulkarnain menerusi program televisyen Jejak Rasul yang diterbitkannya beberapa tahun lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan mana-mana daripada tiga tokoh berkenaan sebagai Zulkarnain menyebabkan Zulkarnain seperti disebut al-Quran adalah tokoh yang tersendiri.
Apa yang kita perlu tahu adalah Zulkarnain seperti disebut dalam al-Quran adalah seorang pemerintah yang berperibadi mulia; beliau adil, beriman kepada Tuhan yang satu (Allah SWT), pembebas kezaliman dan menegak keadilan serta seorang pemerintah yang agung.
Jika selepas ini pun ada dijumpai seorang lagi tokoh zaman lampau yang memenuhi ciri-ciri disebutkan al-Quran sama ada dari segi peribadi dan kedudukan geografi, maka ia termasuk dalam senarai kemungkinan Zulkarnain kerana al-Quran tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai tokoh itu, katanya.
Antara tokoh pemerintah silam yang dikaitkan sebagai Zulkarnain adalah:
Iskandar dari Macedonia
Tokoh pemerintah silam yang terawal dikaitkan sebagai Zulkarnain adalah Iskandar bin Philip, seorang pemerintah Macedonia dan sebahagian daripada negeri di bawah jajahan Yunan.
Iskandar ini dilahirkan pada 356 Sebelum Masihi (SM) dan turut digelar Alaxander The Great oleh pengkaji Barat. Beliau mampu menyatukan negeri di Yunan di bawah pemerintahannya selepas kerajaan itu diwarisi daripada bapanya.
Kemudian beliau meluaskan jajahan kerajaan bapanya ke Timur dan Barat sehingga dikatakan sebahagian besar negeri di dunia ini dimakmurkan di zaman pemerintahannya.
Iskandar al-Macedonia dikatakan memiliki akhlak lemah lembut, pintar, berani, berwawasan jauh serta pernah menjadi pelajar kepada ahli falsafah, Aristotle.
Pengembaraan Iskandar al-Macedonia meluaskan jajahan takluk kerajaannya dikatakan menepati ciri-ciri geografi disebut dalam surah al-Kahfi tetapi terdapat pendapat ahli pengkaji yang menyangkal lelaki itu sebagai Zulkarnain.
Pendapat itu berdasarkan peribadi Iskandar yang dikatakan seorang yang kafir dan menyembah berhala Yunani dan ia bercanggah sama sekali dengan Zulkarnain yang dikenali sebagai seorang raja yang beriman kepada Allah.
Kursy al-Farisi, Raja dari Parsi (Iran)
Barat mengenali tokoh pemerintah silam ini sebagai Cyrus The Great dan beliau membina kegemilangannya sepanjang 30 tahun pemerintahan iaitu dari 559 SM hingga 529 SM.
Era kegemilangan Kursy adalah lebih awal berbanding Iskandar iaitu kira-kira 200 tahun sebelum kelahiran putera Macedonia itu. Kursy dijuluki gelaran Zulkarnain kerana berjaya mempersatukan kembali kerajaan Ldya dan Midya dan menjadi pemerintah Persia pertama sebelum kerajaan besar itu diserang Iskandar ratusan tahun kemudian.
Pengembaraan Kursy turut bertepatan dengan faktor geografi dalam surah al-Kahfi apabila beliau mengembara ke wilayah Timur, Utara dan ke tempat dan kajian mendapati terdapat antara lokasi pengembaraan pemerintah Persia itu yang menyerupai lokasi tembok Yakjuj dan Makjuj.
Berbanding Iskandar, pengkaji dan ahli arkeologi turut mendapati kaitan antara Kursy dengan Zulkarnain tidak saja dari struktur kedudukan geografi tetapi dari sudut peribadi.
Kursy dikatakan seorang yang menyembah Tuhan yang satu, berpekerti mulia, beramal soleh dan berlaku adil kepada semua orang termasuk tawanan perang dan mereka yang menentangnya.
Berdasarkan persamaan geografi dan peribadi itu, maka ramai pengkaji termasuk Wan Alias percaya yang Kursy adalah Zulkarnain yang disebut dalam al-Quran dan bukannya Iskandar.
Pemerintah di zaman Nabi Ibrahim
Seorang lagi pemerintah silam yang dikaitkan sebagai Zulkarnain adalah seorang raja yang hidup sama zaman dengan Nabi Ibrahim AS.
Raja ini dikatakan pernah melakukan tawaf di Kaabah bersama Nabi Ibrahim malah pernah membantu rasul Allah itu mendapatkan kembali telaga baginda yang dirampas pihak tertentu.
Bagaimanapun tidak banyak sumber sahih mengenai raja berkenaan menyebabkan ia sukar dikaitkan sebagai Zulkarnain berbanding Kursy.
This post was written in Malay language (Bahasa Malaysia).
January 30, 2007 No Comments